10 February 2011

5.0 Infrastruktur

5.1  Lokasi

Pemilihan tapak projek fidlot perlu mengambil kira beberapa faktor seperti topografi, jenis tanah, kemudahan bekalan air dan elektrik, kesediaan sumber makanan ternakan, sumber bekalan ternakan, sistem pengangkutan, pasaran dan pembuangan najis.

Seeloknya lokasi ladang/projek fidlot terletak sekurang-kurangnya 0.5 km radius daripada kawasan kediaman/perumahan dan perindustrian serta tidak terlalu hampir dengan sungai atau sistem tali air.  Ini bagi mengelakkan lempahan apabila berlaku banjir atau hujan lebat.  Sekeliling kawasan ladang fidlot perlu dipagar (pagar perimeter) dan disulami dengan pokok-pokok tanaman /buahan.

Elakkan kawasan yang rendah dan mudah tenggelam apabila banjir berlaku.  Pastikan jalan keluar-masuk ke kawasan ladang boleh dilalui sepanjang musim serta dapat menampung kenderaan (lori) sehingga seberat 16 tan.

Tapak projek lembu fidlot perlu dikawasan yang strategik dari aspek topografi, persekitaran dan kemudahan prasarana
5.2  Topografi

Permukaan tanah bagi projek fidlot perlulah rata dan mempunyai pengaliran yang baik.  Bagi kawasan yang kerap hujan penempatan projek fidlot di kawasan berbukit adalah lebih baik kerana ini membolehkan pengaliran air yang baik di samping mengurangkan masalah tanah berbecak.
Bagaimanapun, pemilihan tapak projek fidlot di kawasan yang rata dapat mengurangkan kos pembinaan jalan, pagar dan kemudahan lain dibandingkan dengan kawasan berbukit.

5.3  Bekalan Air Dan Elektrik 

Apabila merancang projek fidlot, kemudahan sumber bekalan air perlu difikirkan semasa memilih tapak untuk projek fidlot.

Lembu yang mempunyai berat badan antara 200-400kg memerlukan air minuman sebanyak  25-40 liter sehari.  Oleh yang demikian, penternak yang memelihara 100 ekor akan memerlukan sebanyak 2500-5000 liter air minuman sehari.  Air diperlukan juga untuk mencuci kandang dan peralatan fidlot.  Perigi atau parit pengairan merupakan sumber air semula jadi yang sesuai selain bekalan daripada Jabatan Bekalan Air.

Bagi projek yang besar atau projek yang berpotensi untuk berkembang pada masa hadapan, sumber tenaga daripada bekalan elektrik diperlukan untuk menjalankan kilang makanan.  Bekalan elektrik juga diperlukan untuk menjalankan mesin-mesin dan peralatan tertentu bagi projek fidlot secara mekanikal.

5.4  Reka Bentuk Kandang 

Penentuan reka bentuk kandang fidlot yang betul dan sesuai adalah penting untuk penempatan ternakan fidlot dalam persekitaran yang selesa, disamping menentukan kos pemakanan dan pengurusan yang menguntungkan.
Reka bentuk kandang dipengaruhi oleh iklim, bilangan ternakan serta rancangan perkembangan fidlot pada masa hadapan.  Oleh kerana negara ini beriklim panas dan hujan sepanjang tahun, kandang berbumbung adalah lebih sesuai daripada kandang terbuka.

Contoh rekabentuk kandang yang praktikal dan ekonomik untuk projek 
lembu fidlot skala sederhana (semi-komersil)
5.5 Kandang Kurungan

Pembinaan kandang kurungan untuk lembu-lembu fidlot perlu mematuhi aspek-aspek kemudahan infrastruktur yang 'standard' seperti berikut:








i. Bumbung
Bumbung kandang fidlot perlu dibina untuk memberi perlindungan kepada ternakan semasa hujan dan panas.  Bumbung boleh dibina sama ada dengan menutup keseluruhan atau sebahagian daripada kawasan lantai kandang, bergantung pada modal yang ada.
Kandang yang di tutup sebahagiannya dengan bumbung  membolehkan cahaya matahari mengeringkan lantai, justeru mengurangkan pertumbuhan organisma-organisma yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit kepada ternakan.
Bahan-bahan yang boleh digunakan untuk membina bumbung termasuklah zink, atap, asbestos dan lapisan getah tar.



ii. Lantai
Lantai perlu dibuat daripada konkrit simen untuk mengelakkan keadaan becak atau berlumpur.  Prestasi ternakan akan menurun sekiranya ternakan dipelihara di tempat yang berbecak kerana keadaan sebegini akan memudahkan serangan penyakit.
Lantai simen yang dibina mestilah mempunyai  ketebalan sekurang-kurangnya 10cm(4 inci) dan ini juga tertakluk kepada kepadatan tanah dengan kecerunan 2% menghala ke parit.



iii.







 

Rekabentuk kandang menunjukkan bumbung dan lantai konkrit yang 
praktikal dan ekonomik untuk projek lembu fidlot komersil

iv. Sistem Saliran
Kandang fidlot mestilah disediakan dengan sistem saliran (parit) yang lengkap supaya air dan najis ternakan dapat disalirkan dengan sempurna
Sistem saliran yang tidak sempurna akan menyulitkan kerja-kerja mencuci kandang.  Air dan najis yang bertakung akan menggalakkan pembiakan parasit dan seterusnya menjejaskan prestasi ternakan fidlot.

v. Palung Makanan  
Palung makanan untuk lembu-lembu fidlot perlu dibina di tepi kandang kurungan supaya pemberian makanan mudah dijalankan.
Palung makanan yang sesuai adalah yang berukuran 60cm (24inci) lebar dan 45cm (18inci) tinggi.

Seekor lembu memerlukan 15cm (6inci) ruang makanan.  Lantai simen di bahagian tempat makanan perlu ditinggikan sedikit supaya air, najis dan makanan yang terbuang dapat dibersihkan dengan mudah di samping mengelakkan kawasan kandang menjadi lembab dan berbecak.

Antara bahan-bahan yang sesuai digunakan untuk membina tempat/palung makanan ialah konkrit dan tong polyetelene yang dipotong melintang.

vi. Palung Air Minuman  
Kedudukan palung air minum bergantung pada reka bentuk kandang kurungan dan jenis takungan air yang digunakan. Bagi kandang yang mempunyai beberapa petak, palung airnya perlu ditempatkan diantara petak.

Kadang kurungan yang menampung 50 ekor lembu perlu mempunyai palung air minuman yang tersendiri.  Palung air minuman yang sesuai ialah yang berukuran 46cm (18 inci) dan 60 cm(24 inci) tinggi.

Untuk membina palung air, konkrit merupakan bahan yang sesuai digunakan selain daripada tong dram dan gelung konkrit sebagai alternatif. 


vii. Kolam Takungan Najis  
Kolam takungan najis untuk sisa buangan/kumbahan fidlot perlu disediakan untuk mengelakkan najis dari kawasan fidlot mencemari sungai, mata air dan kawasan persekitaran.  Dengan adanya kolam takungan ini, kesemua najis yang dihasilkan dapat dikumpulkan setempat.

Saiz kolam takungan najis bergantung pada bilangan ternakan yang dipelihara dan kegunaannya, (maklumat terperinci, sila rujuk Chapter 8: Sisa Buangan Fidlot) .
  
viii. Tempat Rawatan  
Tempat atau lorong rawatan (travis) diperlukan untuk memudahkan rawatan ternakan dan boleh juga digunakan sebagai tempat untuk menimbang ternakan.





No comments:

Post a Comment